Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.
Selamat Datang blog ke Pusat Jagaan Nur Hasanah

Persatuan Pegawai Kerja Sosial (Perubatan) Malaysia

Aktiviti Maktab Tentera Di Raja

Wednesday, 24 August 2011


Petikan : Blog MTD

Bagi melahirkan kesedaran generasi masyarakat berjiwa prihatin, simpati dan melahirkan keinsafan dalam diri, warga Maktab Tentera Di Raja telah menjayakan aktiviti kesukarelawan pada 22 April 2010 di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor. Program pada kali ini telah disertai seramai 32 orang para putera dan 10 orang guru pengiring serta 6 orang staf tentera.Untuk pengetahuan umum, aktiviti ini adalah kali ke-2 MTD melakukan aktiviti kesukarelawan ini iaitu kali pertama ialah pada 16 November 2009.

Objektif dalam program ini adalah untuk membudayakan semangat kesukarelawan di kalangan putera serta memupuk sifat kepimpinan dan kesyukuran dalam kehidupan. Disamping itu, program ini dapat melahirkan generasi masyarakat berjiwa prihatin, simpati dan melahirkan keinsafan dalam diri warga MTD. Selain itu, program ini dapat meningkatkan kemahiran bersosial putera serta memberi peluang kepada warga MTD untuk menghulur khidmat sukarela.


Program ini telah dirancang dengan jayanya semenjak awal tahun oleh pentadbiran MTD. Masa yang diperuntukkan adalah selama 4 jam untuk skuad sukarelawan bersama-sama warga Pusat Jagaan Nur Hasanah. Aktiviti ini didahului dengan bacaan doa oleh PK Firdaus. Majlis pembukaan diadakan secara tidak formal dan hanya secara ringkas. Setelah itu, aktiviti yang dirancang dalam masa yang diperuntukkan dimulakan.

Aktiviti ini dimulai dengan menjamu selera bersama-sama warga Pusat Jagaan Nur Hasanah disamping menyampaikan cenderahati dan bahan sumbangan dari warga MTD. Warga pusat jagaan tersebut telah dihiburkan dengan persembahan daripada para putera antaranya nyanyian dan sambutan hari lahir ke atas warga di sana. Persembahan putera disambut dengan baik oleh warga pusat jagaan, malahan dibalas dengan nyanyian oleh warga pusat jagaan sendiri iaitu Pak Hassim.

Para putera seramai 32 orang telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan dan menceriakan lagi kawasan pusat jagaan ini agar lebih menarik. Para putera turut diberikan beberapa jenis benih pokok untuk ditanam disekitar kawasan pusat jagaan tersebut. Pokok yang ditanam akan megeluarkan hasil agar dapat dituai oleh warga pusat jagaaan kelak.

Selain menanam pokok, putera juga diberi peluang untuk memebersihkan kawasan dalam rumah pusat jagaan tersebut. Selain itu, longkang yang hampir tersumbat turut dibersihkan untuk menambah keselesaan warga tersebut menetap di sana. Manakala selebihnya berada di beranda rumah untuk bersama-sama warga pusat jagaan dalam melayan mereka disamping bertukar-tukar cerita pengalaman hidup yang dilalui mereka. Ternyata ini memberi kesan kepada para putera dan kesedaran serta kesediaan dalam menghadapi onak kehidupan yang akan dilalui suatu hari nanti sebagai khalifah di muka bumi ini.

Aktiviti ini disudahi dengan upacara penutup serta penyampaian cenderahati seterusnya kepada warga pusat jagaan. Kali ini, warga di sana dihiburkan lagi dengan tarian Haka oleh para putera dan sesi bergambar bersama-sama. Seterusnya ialah bersalam-salaman bersama-sama warga pusat jagaan Nur Hasanah. Kelihatan beberapa warga di sana yang menitiskan air mata mereka atas perpisahan kami kali ini. Ia turut mengundang perasaan hiba dalam diri putera kerana program ini ialah kali terakhir warga putera bersama-sama warga MTD yang lain dapat menjalankan aktiviti seumpama ini. Diharapkankan agar para putera selapas ini dapat meneruskan kesukarelawan ini.

“Kita mahu melahirkan warga Malaysia yang mempunyai sifat keprihatinan, kasih sayang serta keinsafan dalam diri. Selain itu, warga Malaysia mestilah peka dan tidak mengabaikan nasib mereka yang kurang baik.” Menurut kata Puan Masariah Mispari, Guru Cemerlang Sejarah Maktab Tentera Diraja merangkap guru pengelola aktiviti ini.

Keseluruhannya, aktiviti ini banyak mendatangkan faedah dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak iaitu warga MTD dan warga pusat jagaan. Para putera terasa begitu gembira dan teruja kerana dapat bersama-sama warga tua di sana. Di pusat jagaan inilah tempatnya warga tua ini tinggal sementara menuggu diambil oleh waris mereka. Mereka yang hidup sebatang kara dan tiada tempat pergantungan turut diuruskan di sini.

Diharapkan agar warga Malaysia yang lain turut bersama-sama membela nasib warga tua ini agar hidup mereka lebih terjamin. Hulurkan Tangan, Ringankan Beban, pepatah inilah yang patut diambil pengajarannya oleh warga kita dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan. Akhir sekali, Warga MTD menyeru agar sekolah-sekolah lain dinegara kita turut mengadakan program seumpama ini demi memastikan masyarakat di negara kita sentiasa mendapat perhatian oleh semua dengan perhatian yang sepatutnya.

434 388 PK Muhammad Nur Faizan bin Nordin

Presiden Persatuan Sejarah,

Maktab Tentera Di Raja,

Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP